Tabung Agromakanan : SKM beri kutamaan pengusaha dalam industri

0
9
Peruntukan tambahan kerajaan bertujuan meningkatkan kapasiti pengeluaran dalam industri agro makanan yang menjadi keutamaan kerajaan dalam menangani masalah kekurangan bekalan dan kenaikan harga barang.

PUTRAJAYA – Pengagihan peruntukan kerajaan sebanyak RM100 juta di bawah Tabung Agromakanan akan diberi keutamaan kepada pengusaha yang telah mengusahakan sektor berkenaan.

Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, peruntukan tambahan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu lalu menjadikan jumlah terkumpul di bawah pengurusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kini sebanyak RM500 juta.

Beliau berkata, sebagaimana yang dimandatkan oleh Perdana Menteri, peruntukan itu akan digunakan untuk membantu koperasi-koperasi mengembangkan industri agro makanan di seluruh negara.

“Secara keseluruhan, SKM diperuntukkan RM500 juta melalui Tabung Modal Pusingan untuk diagihkan.

“Kita akan beri keutamaan kepada pengusaha (koperasi) yang sudah berjalan dalam agro makanan.

“Misalnya kalau ada bela ayam, kemudian nak tambah lagi reban ayam, kalau tanam sayur, cili ke… ini yang kita beri keutamaan,” katanya pada pemberita selepas Majlis Apresiasi KUSKOP 2021 di Dewan MAKSAK di sini hari ini.

Noh Omar

Majlis diadakan bagi menghargai sumbangan warga Kementerian Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) yang telah menunjukkan prestasi kerja cemerlang sepanjang tahun 2021.

Hadir sama Timbalannya, Datuk Muslimin Yahaya dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Suriani Ahmad.

Noh berkata, keutamaan kepada pengusaha yang telah terlibat dalam sektor tersebut bertujuan untuk memudahkan golongan itu meningkatkan potensi perniagaan tanpa dibebani komitmen dengan pihak bank.

“Kebanyakan koperasi yang sedang menjalankan aktiviti agro makanan sewaktu mereka nak buat pinjaman dahulu terpaksa meletakkan cagaran tanah.

“Bila nak kembangkan lagi perniagaan, mereka perlu letak cagaran lagi. Jadi untuk bantu mereka, kita utamakan mereka supaya tidak perlu lagi mencagarkan apa-apa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan SKM mempermudahkan proses permohonan koperasi yang terlibat dalam sektor agro makanan dalam usaha menambah kapasiti pengeluaran produk makanan dalam negara.

“Mana-mana koperasi yang terlibat sudah boleh mula memohon sekarang,” katanya.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM100 juta di bawah Tabung Agromakanan untuk membantu melonjakkan peratusan jaminan keselamatan makanan negara khususnya bekalan ayam pada harga yang stabil.

Perdana Menteri berkata, kerajaan bersetuju bantuan Tabung Agromakanan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) akan diperluaskan kepada koperasi yang terbabit dalam sektor tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here