Tawaran pengajian percuma untuk 2,500 anak veteran tentera di UniRazak

0
21
Ismail Sabri Yaakob

BERA – Kerajaan menawarkan peluang pengajian percuma kepada kira-kira 2,500 anak veteran tentera selama setahun di Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tawaran untuk tempoh lima tahun itu akan melibatkan peruntukan sebanyak RM12,500 bagi pengajian selama setahun bagi setiap pelajar.

Beliau berkata, selepas tempoh setahun pengajian, pelajar boleh memilih untuk terus kekal di universiti berkenaan atau melanjutkan pelajaran ke universiti lain.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga secara dasarnya bersetuju untuk memberi bantuan RM500 untuk mereka yang menjaga pasangan yang terlantar sama ada isteri atau suami, iaitu inisiatif yang dirundingkan semasa beliau menjadi Menteri Kanan Pertahanan.

“Kerajaan tidak pernah melupakan jasa veteran (tentera) terhadap negara dan kita pasti membantu dalam apa jua segi bagi mengurangkan beban dihadapi veteran. Kita mahu pastikan kebajikan veteran terjaga sebab mereka selama ini bersabung nyawa mempertahankan negara.

“Saya juga sentiasa terbuka untuk berjumpa dengan mana-mana pihak untuk berbincang mengenai isu yang membabitkan hal ehwal veteran (tentera) kerana isu ini amat dekat dengan saya,” katanya semasa berucap merasmikan Pejabat Pentadbiran Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PV ATM) Cawangan Bera di Taman Merbau Indah di sini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Tentera Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) Datuk Dzulkarnain Ahmad dan Pengarah JHEV ATM Pahang Mejar Khairul Ashinar [email protected]

Selain itu, Perdana Menteri berkata kerajaan turut bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyediakan kouta khas kepada warga Pertahanan termasuk veteran bagi setiap projek rumah mampu milik yang dilaksanakan.

Beliau memberitahu, usaha mendapatkan peruntukan khas itu telah dilaksanakan termasuk dalam pembinaan 1,000 unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Bera.

“Ini sudah pasti memberi kesan kepada mereka walaupun kita tahu semangat juang mereka kuat. Sebab itu kita fokus dan beri tumpuan untuk memastikan mereka mempunyai rumah yang selesa dan baik,” katanya.

Pada program itu, Ismail Sabri turut meluluskan peruntukan RM20,000 kepada persatuan veteran tentera Bera bagi urusan pengurusan dan pentadbiran persatuan yang sudah mula beroperasi sejak 2016, dengan beliau difahamkan terdapat 3,000 veteran tentera di Daerah Bera.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here