Tekun agih RM515.9 juta bantu usahawan – Noh Omar

0
10
Noh Omar pada sidang media selepas merasmikan Majlis Apresiasi KUSKOP Tahun 2022 di Dewan MAKSAK di sini, hari ini

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya TEKUN Nasional telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM515.9 juta pada tahun ini melalui iniasitif membantu usahawan.

Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, jumlah agihan bantuan bagi tempoh Januari hingga Mei itu telah memberi manfaat kepada kepada 45,293 orang usahawan informal dan mikro di seluruh negara.

Beliau berkata, agensi itu juga turut menyalurkan geran bernilai RM50 juta sebagai inisiatif Geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) kepada 15,562 usahawan informal dan mikro yang terjejas akibat banjir.

“Geran BBKM ini diberikan secara one-off bernilai RM3,000 seorang dan tidak perlu dibayar balik,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Apresiasi KUSKOP Tahun 2022 di Dewan MAKSAK di sini, hari ini.

Noh Omar (tengah) bersama penerima APC pada Majlis Apresiasi KUSKOP Tahun 2022 di Dewan MAKSAK di sini, hari ini.

Majlis diadakan bagi menghargai sumbangan warga Kementerian Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) yang telah menunjukkan prestasi kerja cemerlang sepanjang tahun 2021.

Hadir sama Timbalannya, Datuk Muslimin Yahaya dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Suriani Ahmad.

Noh berkata, di bawah Program Dana Kecemasan PKS (SMEEF) oleh SME Corp Malaysia pula, sebanyak 280 permohonan SMEEF dengan nilai RM26.83 juta telah diluluskan dengan nilai RM12.66 juta telah disalurkan.

“Melalui inisiatif ini, sebanyak 131 PKS yang terjejas akibat banjir atau bencana alam yang lain telah menerima manfaat. Dengan tambahan geran sebanyak RM30 juta lagi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pengenalan Menu Keluarga Malaysia di premis makanan milik koperasi di seluruh negara akan menawarkan harga 10 hingga 15 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Katanya, pada masa kini terdapat 74 koperasi terlibat dalam perniagaan makanan seperti kafeteria, restoran, hotel dan kantin yang beroperasi di sekolah, institut pengajian tinggi (IPT) dan juga kilang.

“Premis-premis ini akan disyorkan memperkenalkan menu khas pada harga tertentu supaya kalau orang nak masuk makan di kedai-kedai milik koperasi mereka sudah maklum.

“Misalnya mereka tetapkan harga 10 hingga 15 peratus lebih murah tetapi kalau nak tambah menu lain, perlu tambah bayaran,” katanya.

Semalam kerajaan mengumumkan menu Keluarga Malaysia di premis makanan milik koperasi di institusi pengajian tinggi yang menawarkan hidangan pagi, tengah hari dan malam pada harga yang berpatutan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here