
SEPANG – Tabung Haji (TH) menafikan dakwaan terdapat “kartel” dalam pemilihan syarikat pelancongan untuk mengendalikan pakej swasta ibadat haji oleh agensi berkenaan.
Menurut Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang berlesen akan dipilih secara tahunan setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
“TH telah mengeluarkan lesen PJH kepada 22 buah syarikat pelancongan tempatan pada 22 Febuari tahun ini dan syarikat tersebut telah melalui proses saringan dan pemilihan yang teliti untuk beroperasi sebagai PJH berlesen bagi musim haji tahun ini.
“Sistem ini telah digunapakai sejak tahun 2000 dan ditambah baik secara berkala. Sistem ini telah diperkemaskan kali terakhir pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Ketua Rombongan Haji Malaysia, menegaskan pemilihan PJH yang ditetapkan adalah bagi memastikan kebajikan jemaah haji Malaysia sentiasa terjaga.
“Syarat pemilihan PJH yang ditetapkan adalah bagi memastikan syarikat-syarikat pelancongan tempatan memiliki kapasiti yang teguh serta mampu memberikan perkhidmatan haji yang terbaik termasuklah mampu menjaga rapi kebajikan jemaah haji Malaysia,” ujarnya lagi.
Sementara itu, beliau berkata, TH juga menyarankan orang ramai terutamanya bakal-bakal haji untuk menggunakan perkhidmatan pakej haji yang disediakan oleh PJH yang dilesenkan TH sahaja.