TH sedia beri kerjasama jika perlu disiasat SPRM

0
15
Idris Ahmad

MAKKAH – Lembaga Tabung Haji (TH) sedia memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika wujud keperluan siasatan berhubung dakwaan wujud isu kartel dalam pengurusan visa furada membabitkan agensi itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata, TH sedia disiasat oleh SPRM bagi membuktikan agensi itu tidak terlibat dalam sebarang kesalahan.

Beliau berkata, TH tidak wajar dipersalahkan kerana sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan menjaga nama baik Malaysia malah sentiasa mengutamakan kebajikan jemaah haji.

“Apabila musim haji tiba, akan ada pihak tidak bertanggungjawap yang cuba mengambil kesempatan. Kita tidak mahu apabila berlaku perkara begini, beban itu ditanggung oleh TH. Pengurusan lesen haji di bawah Pengelola Jemaah Haji (PJH) juga perlukan syarat ketat.

“TH akan selidik semua syarikat yang nak masuk PJH. Jadi tak timbul soal kartel, kita bersedia jika SPRM masuk siasat. Kita buka pejabat 25 jam untuk tengok isu kartel ini,” katanya memetik laporan Bernama semalam.

Beliau berkata, TH sentiasa memantau perkembangan syarikat berdaftar di bawah PJH bagi memastikan mereka layak serta mempunyai reputasi dan rekod kewangan yang baik.

Idris juga berkata, beliau tidak mahu saban tahun perkara sama berlaku seperti insiden yang menimpa 380 bakal jemaah haji baru-baru ini sedangkan orang ramai telah diperingat tentang risiko haji furada.

“Tak sepatutnya kejadian sebegini berlaku sedangkan negara lain memuji negara kita, jemaah juga memuji perkhidmatan yang diberi oleh TH.

“Janganlah ada yang memfitnah dan mereka-reka cerita. Mungkin ada sedikit kelemahan TH (dalam operasi) tetapi janganlah cuba meletakkan beban pada TH,” katanya.

Beliau berkata selepas kembali ke tanah air, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayan bagi membincangkan isu haji furada, umrah serta strategi melaksanakan pengawasan lebih ketat.

Beliau turut menasihati orang ramai yang berhasrat melaksanakan ibadah haji dan umrah supaya berhati-hati termasuk pemilihan syarikat pelancongan kerana pakej haji swasta bukanlah sesuatu yang murah.

“Pastikan ejen yang dipilih mempunyai sejarah atau rekod prestasi yang baik dan boleh dipercayai. Kalau perlu pergi melawat pejabat dan tengok sendiri operasi mereka. Jangan hanya tumpu kepada harga yang menarik dan berurusan melalui telefon sahaja walaupun yang mengesyorkan itu kawan baik kita.

“Begitu juga dengan badal haji. Kita perlu faham bahawa syarat untuk rakyat Arab Saudi sendiri tunai haji adalah ketat dan mereka perlu ambil pakej yang harganya paling rendah RM12,000. Jadi kalau ada tawaran badal haji yang terlalu rendah, jangan gopoh, periksa dahulu siapa yang akan melaksanakan badal haji ini,” katanya.

Berdasarkan rekod, mana-mana syarikat pelancongan boleh memohon untuk menjadi PJH berlesen dan akan dipilih secara tahunan setelah memenuhi syarat yang ditetapkan antaranya berpengalaman mengendalikan umrah tiga tahun berturut-turut serta memiliki rekod Bank Negara melalui Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here