Tiga termasuk suami isteri ditahan bersama 13kg ganja

0
5
PDRM

PULAU PINANG – Tiga individu warga tempatan termasuk sepasang suami isteri ditahan  bersama 13 kilogram (kg) ganja bernilai RM33,813 dalam dua serbuan di Sungai Dua dan Perai, dekat sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Mohd Radzi Ahmad berkata, bertindak hasil maklumat awam dan risikan dijalankan sejak seminggu lepas, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pulau Pinang telah menyerbu sebuah rumah di Sungai Dua pada 10.30 pagi.

“Dalam serbuan itu, polis menahan pasangan suami isteri berusia 35 dan 44 tahun tersebut dan pemeriksaan dalam rumah sewa mereka telah menemukan lapan ketulan mampat ganja seberat 8.7kg bernilai RM21,680.

“Berikutan penahanan pasangan itu, polis kemudiannya menyerbu sebuah bengkel di Perai pada 1.30 tengah hari dan menahan seorang lelaki berumur 44 tahun di situ, kami merampas lima ketulan mampat  ganja seberat 4.85kg bernilai RM12,133,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki yang ditahan di bengkel itu adalah dalang utama sindiket tersebut dan mereka bergiat aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak awal tahun ini.

Mohd Radzi berkata, sindiket itu mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian mereka sebelum membungkus semula dalam kuantiti kecil dan mengedarkannya kepada penagih di sekitar daerah SPU serta Seberang Perai Tengah.

Katanya, tiga suspek yang ditahan itu bekerja sendiri namun mereka dipercayai hidup mewah hasil kegiatan pengedaran dadah kerana mampu mengaut keuntungan sehingga puluhan ribu ringgit setiap bulan.

“Semakan mendapati ketua sindiket itu mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian air kencing seorang lagi lelaki positif dadah,” katanya semua ganja dirampas itu boleh digunakan oleh 27,050 penagih dadah.

Beliau berkata, polis turut menyita barang kemas dan wang tunai kesemuanya bernilai RM15,000 daripada tiga suspek yang kini direman selama 6 Julai bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.—Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here