Tindakan pantas bomba berjaya selamatkan bayi hampir lemas

0
19
GAMBAR IHSAN BOMBA

ALOR SETAR – Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang bayi perempuan berusia 47 hari yang terperangkap di dalam kereta di hadapan rumah mereka di Lorong Sekolah Jalan Alor Merah, di sini semalam.

Portal Astro Awani menyebut, ketika kejadian, bayi perempuan dipercayai berada dalam keadaan hampir lemas apabila mukanya tertutup dengan topi yang dipakai.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pasukannya tiba di lokasi kejadian enam minit selepas menerima laporan.

“Ketika anggota tiba, bayi terbabit dalam keadaan separa lemas di mana bahagian muka ditutupi dengan topi yang dipakaikan di kepala.

“Anggota yang bimbang dengan keselamatannya melakukan tindakan pantas dengan membuka pintu hadapan di sebelah penumpang dengan menggunakan peralatan khas,” katanya kepada Astro Awani.

Mohamadul Ehsan berkata, anggota bomba mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan bayi terbabit yang berada di tempat duduk hadapan kereta.

Katanya, bayi itu diserahkan kepada ibu bapanya setelah disahkan berada dalam keadaan baik oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Rawatan Kecemasan (EMRS).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here