Tipu haji: Polis berkas 5 individu termasuk pemilik sebuah agensi pelancongan

0
361
Sebahagian mangsa penipuan haji berkumpul di KLIA

KUALA LUMPUR – Polis menahan lima individu termasuk pemilik sebuah agensi pelancongan yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan haji melibatkan hampir 400 mangsa.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, dua lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 60 tahun itu ditahan dalam serbuan di ibu negara kira-kira jam 9 malam tadi.

“Lima individu yang ditahan itu membabitkan pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit yang terletak di Danau Kota.

“Kami mengambil keterangan mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju bagi membantu siasatan,” katanya memetik laporan BH Online hari ini.

Ashari berkata, sebanyak 23 laporan polis diterima di Kuala Lumpur berhubung kes terbabit.

“Sebanyak 23 laporan itu dilaporkan di Wangsa Maju, Sentul dan Dang Wangi membabitkan kerugian berjumlah RM760,000.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan ira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, pagi kelmarin dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Mereka yang berkumpul di Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Tabung Haji (TH).

Penerbangan individu itu dijadualkan ke Jeddah Selasa lalu, namun ditangguhkan atas alasan dokumen tidak lengkap, sebelum penerbangan baru dijadualkan pada jam 4.30 petang kelmarin dan tertangguh lagi pada jam 7 malam, hari sama.

Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilapor dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here