Tular video hina Islam, polis tahan seorang lelaki

0
34
Polis

KUALA TERENGGANU – Seorang penganggur ditahan polis selepas dipercayai menghina agama Islam serta beberapa individu menerusi rakaman audio yang tersebar sejak Isnin lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, suspek yang juga seorang duda berusia 59 tahun itu ditahan di rumahnya di Chendering di sini, kira-kira jam 1 pagi tadi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati rakaman audio itu dilakukan pada tahun lalu namun baru ditularkan.

“Rakaman ini adalah ulangan daripada yang telah berlaku pada tahun lalu dan ditularkan semula oleh individu tertentu.

“Menerusi rakaman audio itu, kita dapat mendengar suara seorang lelaki memaki hamun kepada individu tertentu termasuk agama Islam.

“Tindakan suspek adalah penghinaan bukan saja kepada agama Islam tetapi boleh mendatangkan ketidakharmonian kepada masyarakat,” katanya ketika memetik laporan Harian Metro hari ini.

Mengulas lanjut, Rohaimi berkata, suspek yang turut mempunyai enam rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, suspek yang positif dadah jenis methamphetamine itu disiasat mengikut Seksyen 298 A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kita memandang serius isu sebegini dan orang orang ramai diingatkan supaya tidak menjadikan agama sebagai jenaka kerana ia boleh menyebabkan perpecahan dan menimbulkan situasi tidak harmoni dalam kalangan masyarakat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here