Tuntutan Sultan Sulu digantung Mahkamah Rayuan Paris

0
58
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

CYBERJAYA – Kerajaan sedang membuat persiapan rapi rentetan penggantungan penguatkuasaan Final Award oleh Mahkamah Rayuan Paris semalam oleh pihak-pihak yang mendakwa sebagai waris dan successors-in-interest kepada Sultanan Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sesi pendengaran pembatalan Final Award yang masih belum ditetapkan tarikh itu diharap akan menamatkan segala tuntutan dan melindungi kedaulatan Malaysia.

Katanya, perkembangan terbaharu hasil pelbagai tindakan perundangan yang diambil Kerajaan Malaysia itu diputuskan selepas penilaian keputusan mahkamah terhadap Final Award yang dikeluarkan Dr. Gonzalo Stampa pada 28 Februari lalu melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol yang menjejaskan kedaulatan Malaysia.

“Perintah Penggantungan itu adalah hasil daripada pelbagai tindakan perundangan yang diambil oleh Kerajaan Malaysia bermula dari Tuntutan tersebut difailkan bagi menamatkan segala tuntutan dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.

“Oleh itu, kesan daripada Perintah Penggantungan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan Paris pada 12 Julai (semalam) tersebut, Final Award tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris berkenaan dengan permohonan pembatalan Final Award yang dibuat oleh Kerajaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas mengenai tuntutan waris Sulu itu, Wan Junaidi berkata,
dua anak syarikat Petronas yang berdaftar di Luxembourg dirampas melalui penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan oleh Mahkamah Luxembourg.

Berikutan itu, kata Wan Junaidi, Kerajaan Malaysia telah mengambil tindakan-tindakan perundangan di Madrid termasuk membuat permohonan bagi pengiktirafan dan penguatkuasaan Perintah deklarasi dan injunksi bagi memberhentikan prosiding timbang tara di Sepanyol yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sabah pada 14 Januari 2020.

Selain itu, Kerajaan Malaysia juga telah membuat permohonan bagi membatalkan pelantikan penimbang tara dan permohonan untuk mengenepikan Partial Award on Jurisdiction bertarikh 25 Mei 2020 yang dikeluarkan oleh Dr. Stampa.

“Berikutan tindakan-tindakan perundangan yang telah diambil oleh Kerajaan Malaysia, Mahkamah Tinggi Madrid, Sepanyol, pada 29 Jun 2021, telah membatalkan pelantikan penimbang tara Dr. Stampa yang memutuskan semua prosiding timbang tara dan apa-apa keputusan Dr. Stampa, termasuk Final Award adalah tidak sah, terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan di bawah undang-undang.

Menurut Wan Junaidi, Dr Stampa tidak menghormati dan tidak mempedulikan keputusan-keputusan Mahkamah di Madrid dan sebaliknya memindahkan tempat prosiding timbang tara (seat of arbitration) ke Paris.

Sehubungan itu menurut Wan Junaidi, prosiding jenayah terhadap Dr. Stampa juga difailkan oleh Kerajaan Malaysia bagi kesalahan menghina mahkamah di Mahkamah Jenayah di Madrid dan prosiding bagi perkara berkenaan masih berjalan.

Beliau menegaskan, Petronas sebagai sebuah syarikat akan mengambil tindakan perundangan yang perlu untuk mempertahankan kedudukannya di bawah undang-undang.

“Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa ia tidak pernah mengiktiraf Tuntutan tersebut dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat,” tegas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here