Tuntutan waris Sulu: PKR Cabang Taiping gesa Najib disiasat segera

0
25
PKR Cabang Taiping membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Najib Razak di IPD Taiping hari ini.

TAIPING – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu disiasat berhubung kecuaiannya ketika mentadbir negara sehingga menyebabkan berlaku tuntutan oleh waris Sultan Sulu.

Menurut Naib Ketua PKR Cabang Taiping, Koh Teck Chong, Ahli Parlimen Pekan itu perlu mendedahkan punca beliau menghentikan pembayaran pampasan kepada waris keturunan Sulu dan tidak lepas tangan di atas kecuaian itu.

“Sebagai warganegara yang bertanggungjawab kami terpanggil untuk membuat laporan polis di atas salah laku Najib Razak sehingga menggugat kedaulatan negara.

“Kecuaian ini telah menyebabkan mereka yang mendakwa sebagai waris kesultanan Sulu membawa kes itu ke mahkamah dan merampas aset Petronas,” katanya kepada Malakat Tribune.

Terdahulu Teck Chong bersama 30 ahli PKR Taiping membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Taiping di sini.

PKR hari ini membuat laporan besar-besaran terhadap Najib di atas kecuaiannya sehingga menyebabkan kesultanan Sulu menyaman Malaysia akibat kegagalan membayar bayaran tahunan selepas pengganas Sulu menyerang Sabah pada 2013.

Sementara itu, Ketua PKR Cabang Taiping Ahmad Zahid Khalid ketika dihubungi berkata, pihaknya merasakan kewajaran bagi setiap warganegara membuat laporan terhadap salah laku semasa pentadbiran Perdana Menteri keenam itu.

Beliau berkata, ia bagi memberi iktibar kepada semua pemimpin agar mengalas tugas mentadbir sesebuah kerajaan dengan cekap tanpa sambil lewa.

“Walaupun isu ini sudah lama berlaku iaitu pada 2013, kita melihat tindakan segera perlu diambil kerana waris kesultanan Sulu tidak berdiam diri seperti disangka dan mereka membawa kes tuntutan tersebut hingga ke peringkat antarabangsa.

“Justeru, kita mahu mengetahui alasan Najib menghentikan pembayaran itu. Adakah beliau menggunakan proses perundangan atau sebaliknya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here