Tutup Kelab Komedi Crackhouse atau kami mogok – desak NGO Muslim 

0
133
Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi (nombor 2 dari kiri) bersama pengarah terkenal Syamsul Yusof (nombor 1 dari kanan) dan pelawak Shahrul Shiro (nombor 1 dari kiri) hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bagi membuat laporan polis susulan persembahan komedi pemilik Kelab Komedi Crackhouse yang menyentuh dan memerli orang Melayu dan agama Islam. 

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk menutup sepenuhnya Kelab Komedi Crackhouse Taman Tun Dr Ismail (TTDI) atau terpaksa berhadapan dengan protes yang lebih besar daripada umat Islam.

Menurut Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi, penghinaan terhadap agama Islam dan bangsa Melayu yang dilakukan oleh kelab tersebut bukan perkara baharu dan sering dilakukan.

Beliau berkata, ini dapat dilihat menerusi persembahan pemilik kelab itu, Rizal Van Geyzel yang sering membuat persembahan komedi yang menyentuh dan memerli orang Melayu seperti tular baru-baru ini.

“Kita bukan nak tutup periuk rezeki orang tapi sebab saya difahamkan pemilik kelab ini sudah melakukan perkara tersebut berbelas tahun.

“Jadi saya nampak kelab ini perlu ditutup supaya menjadi iktibar kepada semua pemilik kelab yang ada “stand up comedian’ ini dan agar perkara seperti ini tidak berulang,” katanya kepada Malakat Tribune di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Yusuf yang juga merupakan bekas Pengarah Unit Tindakan Khas, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), berkata, tindakan tegas perlu diambil oleh pihak berkuasa terhadap kelab komedi itu sebelum mereka melakukan mogok.

Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1Malaysia, Yusuf Azmi (nombor 2 dari kiri) bersama pengarah terkenal Syamsul Yusof (nombor 1 dari kanan) dan pelawak Shahrul Shiro (nombor 1 dari kiri) dalam sidang media bersama wartawan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

“Kita minta tindakan bukan laporan maksudnya pihak polis akan menjalankan siasatan supaya kes ini dibicarakan di mahkamah dan kita akan dapat keputusan.

“Sekiranya tindakan tidak diambil, kemungkinan besar kami akan melakukan mogok di hadapan kelab itu sehingga kedai itu tidak dibuka, bukan nak pecahkan kedai ke apa kita datang kerana tidak puas hati,” tegasnya.

Selain itu, yang hadir sama, pelakon dan pengarah filem terkenal, Syamsul Yusof serta pelawak terkenal Shahrul Shiro.

Terdahulu, satu video menunjukkan seorang pelawak yang dikenali sebagai Rizal Van Geyzel membuat persembahan dalam Bahasa Tamil memerli orang Melayu di kelab komedi yang tular baru-baru ini.

Persembahan pemilik kelab komedi itu tular selepas pendedahan mengenai seorang wanita yang menghina Islam ketika melakukan persembahan komedi di kelab berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here