Tutup terus Crackhouse! – Pembela

0
11

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa membatalkan lesen dan menutup terus Kelab Komedi Crackhouse sebagai pengajaran kepada pihak lain.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, penutupan atau penggantungan sementara kurang memberikan kesan positif kerana perkara sama boleh berulang pada masa akan datang.

Katanya, tindakan pemilik kelab terbabit sendiri telah melanggar undang-undang kerana lesen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah untuk perniagaan restoran dan bukannya untuk tujuan hiburan.

“Itu pun merupakan satu perkara yang tidak betul dan tindakan boleh diambil kerana menyalahguna lesen yang diberi.

“Kerajaan tidak boleh berlembut dalam perkara tersebut dan tindakan tegas perlu diambil agar tidak ada pihak melakukan perkara sama sebagaimana dilakukan oleh pemilik kelab terbabit,” katanya pada satu sidang akhbar, di sini hari ini.

Kata Aminuddin, agama tidak boleh dijadikan bahan lawak yang mungkin menjadi kebiasaan bagi sesetengah individu untuk melakukannya.

Ini kerana, bagi umat Islam perkara itu adalah satu penghinaan yang tidak boleh dimaafkan

“Kita selalu beri peringatan bahawa sentimen agama ni sangat sensitif apatah lagi melibatkan agama Islam.

“Ia melibatkan akidah dan ini satu perkara yang sangat serius…saya berharap agar pihak berkuasa cari jalan supaya perkara ini tidak berulang-ulang. Tapi, kini nampaknya perkara seperti ini telah banyak kali berulang (orang hina Islam).

“Mungkin hukuman itu terlalu ringan, terlalu mudah yang akhirnya orang melihat perkara ini bukan satu perkara yang perlu dirunsingkan…tapi, bagi kami ini bukan satu perkara yang baik,” katanya lagi.

Aminuddin berkata demikian bagi mengulas tindakan wanita yang dikenali sebagai Siti Nuramira Abdullah yang mengaku telah menghafaz 15 juzuk al-Quran dan berkelakuan biadap di kelab terbabit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here