Usahawan perlu berfikir di luar kotak untuk ‘survive’

0
36
Norazni (kanan sekali) sedang memberikan perkhidmatan urut kaki kepada pengunjung Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Kuala Lipis, baru-baru ini.

TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang penularan pandemik Covid-19 merupakan satu waktu sukar buat semua, tak kira bagi yang makan gaji ataupun menjalankan perniagaan sendiri.

Bagi pengusaha Nur Alwani Beuty & Spa, Norazni Md. Tolah, pelbagai sekatan yang dikenakan ke atas perniagaan bagi mengekang penularan wabak itu, benar-benar menjejaskan perniagaannya.

“Oleh sebab itu, saya menghentikan sementara perniagaan spa itu dan menceburi bidang bekalan bahan makanan,” kata Norazni.

“Kami tidak mempunyai pengalaman dalam bidang makanan, tetapi ada rangkaian pemasaran yang kuat, jadi sebab itu kami memilih untuk membekalkan bahan makanan seperti sayur, ikan dan daging ketika PKP Fasa 1,” katanya lagi.

Memasuki Fasa 2, Norazni berkata, dia beralih kepada penjualan makanan siap seperti rojak, cendol dan air baru campur di warung jalanan.

“Perniagaan spa ini kami hanya dapat mulakan kembali mulai Oktober tahun lepas,” jelas Norazni.

Katanya, para usahawan perlu sabar menghadapi perit jerih perjalanan perniagaan, dan bijak berfikir di luar kotak.

“Seperti saya, yang hanya pandai mengurut, bukan bermaksud saya perlu berhenti terus (beri perkhidmaan) apabila keadaan tidak mengizinkan.

“Masih ada lagi perkhidmatan lain yang boleh saya berikan kepada pelanggan (sedia ada),” jelasnya.

Norazni yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan merupakan salah seorang usahawan desa yang mengambil bahagian dalam Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) yang berlangsung di Dataran Orang Kaya Haji di Kuala Lipis, Pahang bermula Khamis hingga esok.

Mini KUD merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam membantu usahawan luar bandar mengembangkan perniagaan menerusi konsep pameran dan jualan terus kepada pengguna.

Menariknya, kemunculan Norazni pada karnival ini lebih menarik kerana beliau menampilkan spa bergerak yang dikenali sebagi Rissmobile.

“Spa bergerak merupakan sebuah lori yang diubah suai, dilengkapi dengan pelbagai peralatan, dan turut mempunyai sebuah bilik khas mengurut.

“Pelanggan saya kini hanya perlu tempah perkhidmatan, dan Rissmobile akan datang ke lokasi mereka,” kata Norazni yang sebelum ini pernah memenangi geran Groombig anjuran Risda pada tahun 2018.

Jelas Norazni, KPLB menerusi agensinya banyak memberi sokongan dan bantuan dalam membudayakan keusahawanan.

“KUD sendiri merupakan satu platform yang amat bermanfaat. Bagi usahawan, peluang ini bukan sahaja digunakan untuk mempromosikan barangan dan perkhidmatan yang kami ada, tetapi pada waktu sama dapat menjalin hubungan dan networking dengan para usahawan lain,” kata Norazni lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here