Vanidah Imran sah bergelar isteri kepada pesilat negara

0
137
Vanidah Imran selamat diijab kabulkan bersama pasangannya, Arifabillah Idris dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis di Titiwangsa hari ini.

KUALA LUMPUR – Pelakon terkenal, Vanidah Imran selamat melangsungkan pernikahan bersama pesilat negara, Arifabillah Idris dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis di Titiwangsa hari ini.

Vanidah atau lebih mesra dengan panggilan Vee, 49, dan Arifabillah, 43, disatukan dalam majlis pernikahan tertutup, dengan dihadiri sekitar 50 tetamu, merangkumi ahli keluarga dan teman rapat, lapor Berita Harian.

Pasangan mempelai itu bagaimanapun merahsiakan jumlah wang hantaran atas permintaan keluarga.

Pengantin lelaki juga menyerahkan mas kahwin berbentuk seutas rantai emas dan masing-masing berbalas dua dulang hantaran.

Selain menguasai ilmu Silat Cekak Pusaka Hanafi, Arifabillah yang juga seorang jurutera pernah meraih pingat perak pada Chungju World Martial Arts Masterships (WMC) di Cheongju, Korea Selatan pada 2016.

Vee dan Arifabillah juga sebenarnya sudah dua tahun merahsiakan hubungan mereka dan Vee akur selepas empat tahun bergelar ibu tunggal, keputusan berkahwin kembali bukanlah sesuatu yang mudah.

“Sejujurnya, mereka yang rapat sahaja tahu mengenai hubungan saya dan suami. Ini termasuklah keluarga dan dua anak, Mikail Aimran dan Maryam Rashika.

“Teman rapat pun hanya dimaklumkan beberapa hari sebelum majlis pernikahan. Ada antara mereka terkejut dengan berita ini, namun, pada masa sama, gembira dengan keputusan dibuat.

“Bagi saya, sisi peribadi kali ini kenalah disimpan erat sampai betul-betul jadi. Nikah dan kahwin ini bukannya semudah menukar baju,” kata Vee.

Vee yang kini juga seorang pensyarah di Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata, banyak faktor diambil kira sebelum memikirkan soal hati.

“Kami masing-masing pernah berkahwin. Kami pernah melalui pengalaman hidup berumah tangga. Suami sebelum ini berstatus duda kepada empat cahaya mata.

“Jadi, paling utama dalam memutuskan soal membina masjid kami, perasaan dan hati anak-anak perlu diutamakan.

“Selama mengenali hati budi masing-masing, saya lihat dia pandai mengambil hati anak. Penerimaan anak-anaknya terhadap saya juga positif,” kata graduan Sarjana Seni Persembahan (Drama), Universiti Malaya (UM) itu kepada BH Online.

Menurut Vee, mereka mula rapat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Satu di mana mereka sesekali berhubung melalui telefon atau aplikasi WhatsApp.

Namun keakraban berlaku dan mula terbit rasa sayang antara mereka.

“Biarpun berbeza usia enam tahun, itu bukan halangan besar kerana masing-masing ada tanggungjawab. Dia juga bukan jenis lelaki yang pandai ‘mengayat’ dan terlalu romantik.

“Tetapi dialah yang selalu berada di sisi saat saya tidak mampu menangani tanggungjawab dan bebanan menjelma,” katanya.

Vee pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Rashidi Ishak pada Oktober 2000 dan dikurniakan dua cahaya mata. Mereka bagaimanapun bercerai pada Ogos 2018.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here