Video penjaja goreng pisang tak boleh guna minyak paket diputar belit, kerajaan tak sampai hati saman peniaga – PM

0
139
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan kenyataannya berhubung minyak paket yang digunakan makcik goreng pisang dalam satu video pendek telah diputar belitkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Perdana Menteri berkata, meskipun minyak paket yang bersubsidi tersebut adalah untuk kegunaan domestik dan bukan komersial, pihak kerajaan masih menggunakan budi bicara dengan tidak menyaman peniaga kecil.

“Ada pihak yang cuba memutarbelitkan kenyataan saya berkenaan minyak paket yang digunakan makcik goreng pisang.

“Sebenarnya, minyak paket yang bersubsidi tersebut adalah untuk kegunaan domestik, bukan komersial.

“Namun, apabila peniaga kecil menggunakan minyak berpaket, adakah kita akan saman mereka? Sudah pasti kita tidak sampai hati untuk mengeluarkan saman terhadap peniaga kecil yang menggunakan minyak paket,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu, katanya, walaupun ia bukan sesuatu yang mudah tetapi ada perkara-perkara yang kerajaan perlu pertimbangkan.

Malah tegasnya, kerajaan tidak akan berdiam diri dan akan melakukan yang terbaik dalam menangani perkara itu.

Terdahulu tular video dari aplikasi TikTok sebuah akaun yang meletakkan tajuk ‘Penjaja goreng pisang tak boleh guna minyak paket-PM’ yang dipetik daripada ucapan Perdana Menteri di Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun petikan video itu diedit bagi mensensasikan isu minyak masak dan menimbulkan kemarahan peniaga kecil tanpa memasukkan konteks sebenar ucapan Perdana Menteri.

Dalam ucapan tersebut Perdana Menteri menyebut adalah satu kesalahan menggunakan minyak bersubsidi untuk tujuan komersial dengan mengambil makcik pisang goreng sebagai contoh.

Bagaimanapun, Perdana Menteri menjelaskan pada ayat berikutnya bahawa kerajaan tidak sampai hati untuk menyaman peniaga kecil walaupun menyedari isu tersebut, yang mana bahagian ini telah diedit keluar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here