Wanita didakwa hina Islam ditahan

0
82

CYBERJAYA – Seorang wanita yang didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan komedi di sebuah kelab di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur sudah ditahan polis malam tadi.

Menurut laporan portal Malaysia Gazette yang memetik sumber, wanita itu dikenali sebagai Siti Amira Natasha Abdullah, 28, ditahan pada pukul 10.45 malam di Taman Jaya, Jalan Gasing, di Petaling Jaya.

“Suspek yang mendakwa berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu telah ditangkap oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Polis turut melakukan pemeriksaan ke atas wanita itu dan berjaya merampas beberapa barangan antaranya baju kurung, tudung, skirt pendek dan telefon bimbit yang dipercayai dipakainya semasa membuat persembahan komedi itu,” kata sumber itu, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi Malaysia Gazette mengesahkan penahanan wanita itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin menerusi satu kenyataan ringkas sebentar tadi mengesahkan wanita yang ditahan itu telah direman selama tiga hari bermula hari ini 10 Julai hingga 12 Julai 2022.

“Suspek kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields buat masa sekarang dan siasatan masih di teruskan ke atas individu tersebut,” tegasnya.

Dalam satu kenyataan semalam, Noorsiah menjelaskan bahawa, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah membuka satu kertas siasatan dan memulakan siasatan bagi menyiasat penularan video itu.

Katanya, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 298a Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here