Wanita hina Islam di kelab malam berdepan hukuman penjara, denda – Pengarah JAWI

0
926
Tangkap layar sebuah video seorang wanita membuka pakaian dan tudung di hadapan penonton selepas memperkenalkan diri sebagai seorang beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita Muslim yang dengan sengaja mempersenda agama Islam dengan membuka pakaian di sebuah kelab malam di sini bakal berhadapan dengan hukuman tegas.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib  Ismail berkata, siasatan awal telah dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan JAWI terhadap wanita itu.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Seksyen 7.

“Iaitu menghina, atau menyebabkan dipandang hina, dan lain-lain agama Islam dengan denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua duanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, JAWI sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertujuan menghina dan mencemarkan imej serta kesucian Islam khususnya yang berlaku di Wilayah Persekutuan lebih-lebih lagi menjelang ketibaan Hari Raya Aidiladha yang mulia.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang menghina kesucian agama Islam.

Sehubungan itu katanya, beliau telah meminta pihak JAWI untuk mengambil tindakan berpandukan peruntukan undang-undang sedia ada dengan kadar segera.

Terdahulu, tular sebuah video memaparkan seorang wanita membuka pakaian dan tudung di hadapan penonton selepas memperkenalkan diri sebagai seorang beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran.

Video yang tular di aplikasi TikTok itu didakwa berlaku di sebuah kelab di ibu negara yang menampilkan persembahan komedi.

Menerusi video berdurasi 54 saat itu, wanita terbabit muncul atas pentas dengan imej wanita muslim iaitu memakai baju kurung lengkap bertudung.

Dia kemudian memperkenalkan dirinya serta mengakui sebagai seorang muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran, sebelum berhenti berucap seketika bagi menanggalkan satu persatu baju kurung dan tudung.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here