Wanita mirip Zalina di Shah Alam adalah gelandangan

0
40

CYBERJAYA – Polis Shah Alam menafikan dakwaan wanita yang dilihat di tiga lokasi di Seksyen 3, 9 dan 14 Shah Alam baru-baru ini adalah personaliti televisyen Zalina Shaharah Azman yang sebelum ini dilaporkan hilang sejak November lepas.

Sebaliknya, kata Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim, wanita itu adalah seorang gelandangan.

“Pihak kami dah semak dengan pekerja kafe tersebut (tular di Twitter semalam) dan dapati yang datang ke kafe berkenaan adalah gelandangan. Bukan Orang Hilang (Zalina) yang dicari ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Iqbal turut mengesahkan hasil semakan pihaknya, tiada individu tampil membuat laporan mengenai isu tersebut.

“Bagaimanapun, pihak polis mengalu-alukan orang ramai menyalurkan maklumat sehingga Zalina berjaya ditemui,” katanya.

Semalam, polis mengesahkan Zalina Shaharah, 58, masih berada dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkan wanita itu yang dikesan pihak berkuasa setakat ini.

Isnin lepas, Mohd Iqbal dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan daripada anak lelaki Zalina Shaharah, Mikhael Norman, 33, berkenaan kehilangan ibunya pada 29 Nov tahun lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here