YADIM cadang jumpa pelawak wanita hina Islam, ajak pulang ke pangkal jalan

0
44
Siti Amira Natasha Abdullah ketika membuat persembahan di kelab komedi Crackhouse sehingga mencetuskan kontroversi

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bercadang untuk bertemu dengan pelawak wanita, Siti Amira Natasha Abdullah yang didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi bagi
menariknya semula ke pangkal jalan.

Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan berkata, tindakan wanita itu merupakan perkara malang kepada sebuah negara yang bertamadun dan tidak seharusnya umat Islam sendiri menghina agama yang mereka anuti.

“Ini satu perkara yang mengecewakan dan memalukan, oleh kerana itu kami sebagai kapasiti dakwah di Malaysia bercadang untuk menemui wanita berkenaan supaya dapat memberikan penjelasan mengenai Islam yang sebenar.

“Diharapkan individu yang melakukan tindakan itu dapat memperakui kesalahan serta menyatakan kesalahan berkenaan dan berubah. Itu yang akan dilakukan oleh YADIM, dari segi tindakan undang-undang saya yakin pihak berkuasa sudah menjalankan kerja mereka.

“Kami hanya fokus pada dakwah, apabila ada pihak yang melakukan tindakan sebegitu (menghina Islam), kami akan ambil peluang dan cari jalan untuk bertemu dengan mereka dan beri penjelasan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penghargaan dan Ramah Mesra Bersama Media, hari ini.

Nasrudin Hassan (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Ketua Pengarang Malakat Tribune ketika Majlis Penghargaan dan Ramah Mesra Bersama Media, hari ini.

Minggu lalu tular satu video memaparkan seorang wanita yang mengaku berasal dari Kuala Kangsar, Perak, menghina Islam dengan mendakwa menghafaz 15 juzuk al-Quran sebelum membuka pakaian baju kurung dan tudung dipakainya ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Dalam pada itu, ditanya mengenai tindakan pihak berkuasa menutup kelab komedi itu, Nasrudin berkata, tindakan itu adalah wajar bagi mengelakkan berlakunya kejadian serupa.

“Kami di YADIM berpendapat selayaknya tindakan sebegitu diambil, kita tidak mahu sebuah premis dijadikan sebagai tempat untuk menghina agama Islam. Sekiranya ia berlaku, memang wajarlah ia disekat kerana membawa kepada keburukan.

“Kita bimbang akan reaksi balas daripada masyarakat awam yang mungkin tidak terkawal disebabkan kemarahan, kerana perkara itu tidak boleh dijangka. Jadi jangan cetuskan situasi atau suasana yang huru hara atau timbulkan polemik, kalau boleh perkara itu dielakkan.

“Di zaman maju dan moden ini, kita seharusnya memilih untuk saling menghormati dan hargai satu sama lain. Kalau tak nak terima Islam, tidak perlulah menghina. Amalkan terima pandangan masing-masing tanpa perlu kita hina orang lain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here