YouTuber tarik tudung wanita didakwa di mahkamah 

0
70
Seorang Youtuber melakukan ‘prank’ dengan menarik tudung dua orang wanita.

KUALA LUMPUR – Seorang YouTuber yang menghasilkan sebuah video prank dengan menarik tudung dua orang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah, suspek dituduh mengikut Seksyen 14 Akta 336 di Mahkamah Majistret.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan/ Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) namun, suspek dituduh mengikut Seksyen 14 Akta 336 di Mahkamah Majistret semalam dan dihukum denda.

“Lelaki berusia 24 tahun itu sebelum ini ditahan pada 7.30 malam kelmarin, susulan laporan diterima pihaknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Ashari juga menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang rakaman dan penyebaran video yang mengandungi isi kandungan yang boleh mendatangkan kegusaran masyarakat serta menyentuh sensitiviti di masa akan datang.

Terdahulu, pemuda yang juga YouTuber dikenali Nick memohon maaf atas keterlanjurannya memuat naik video ‘prank’ tarik tudung dua wanita di saluran YouTubenya.

Permohonan maaf itu dibuat menerusi video terbaru yang dimuat naik di salurannya, tidak lama selepas kontroversi itu kelmarin.

Menurut Nick, video prank itu dibuat bagi mengetahui reaksi orang Melayu sama ada mereka akan tampil mempertahankan wanita Muslimah yang diperlakukan sedemikian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here