Datuk Seri antara ditahan dalam parti liar, dadah di Janda Baik

0
41
Sebanyak 25 individu yang terlibat dalam parti liar di sebuah banglo di Janda Baik, Pahang itu juga didapati positif dadah.

BENTONG – Seorang lelaki bergelar Datuk Seri ditahan bersama 24 lagi individu dalam serbuan di sebuah parti liar yang diadakan di sebuah banglo di Janda Baik dekat sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, serbuan pada pukul 1 pagi itu turut merampas dadah jenis katamine dan pil ectasy bernilai kira-kira RM800.

“Hasil pemeriksaan, polis menemukan dan merampas dadah dipercayai jenis katamine seberat 2.18 gram dan pil ecstasy seberat 1.43 gram bernilai keseluruhan RM800.

“Suspek bergelar Datuk Seri ditahan bersama 24 lagi terdiri daripada 17 warganegara tempatan dan lapan warganegara asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaiham berkata, serbuan ke atas premis yang disewa untuk tujuan parti liar dengan bayaran RM15,000 dibuat selepas pihaknya mendapat maklumat daripada orang ramai.

Suspek terdiri daripada 15 orang lelaki dan 10 orang wanita berusia antara 18 hingga 64 tahun.

“Ujian saringan awal air kencing ke atas 25 suspek didapati positif methamphetamine dan ditahan selama empat hari bermula bermula hari ini sehingga 14 Ogos ini.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Zaiham menegaskan, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dengan dadah dan akan mengambil tindakan tegas berasaskan undang-undang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here