9 syarikat Malaysia tandatangani MoU berjumlah RM34 bilion dengan syarikat Arab

0
31
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) menyaksikan perjanjian persefahaman (MoU) antara sembilan buah syarikat Malaysia dengan sebuah syarikat konglomerat Arab Saudi, Ajlan Bros Holding Group di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Malaysia kekal utuh menjadi destinasi pelaburan utama dunia selepas sembilan buah syarikat Malaysia menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) melibatkan pelaburan berjumlah AS$7.5 bilion bersamaan RM34 bilion dengan sebuah syarikat konglomerat Arab Saudi, Ajlan Bros Holding Group.

MoU tersebut melibatkan pelaburan secara kolektif dalam sektor semi-konduktor, perdagangan sosial, teknologi perubatan, industri pertahanan dan hiburan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, MoU itu sememangnya bakal memberikan kesan positif terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

“Selain itu, kerjasama syarikat Malaysia bersama Ajlan Bros Holding Group ini juga berupaya meningkatkan daya saing syarikat tempatan untuk bersaing di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis menandatangani MoU antara sembilan syarikat Malaysia dengan wakil syarikat Ajlan Bros Holding Group, Timbalan Pengerusi, Mohammed Abdulaziz Al Ajlan.

Tambah beliau lagi, pelaburan berimpak tinggi itu amat penting bagi memacu negara serta seluruh Keluarga Malaysia pulih sepenuhnya daripada kesan pandemik Covid-19 dan krisis geopolitik yang menyebabkan ketidaktentuan ekonomi katanya

Syarikat Malaysia yang terlibat dalam perjanjian MoU tersebut adalah Dagang NeXchange Berhad (DNex), Aerodyne Systems Sdn. Bhd, National Aerospace & Defence Industries Sdn. Bhd (NADI), Twistcode Technologies Sdn. Bhd, CyberSecurity Malaysia, Malaysia Genomics Resources Centre Berhad, Meta Universe Sdn. Bhd, Light Up 7 Sdn. Bhd dan My Events Sdn. Bhd.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here