Ada bahan kimia berbahaya, aiskrim perisa vanila Haagen-Dasz ditarik dari pasaran

0
84
Aiskrim Haagen-Dazs perisa vanila di ditarik daripada pasaran selepas dikesan mengandungi bahan ETO.

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan satu produk jenama aiskrim terkenal, Haagen-Dazs ditarik daripada pasaran selepas dikesan mengandungi bahan karsinogenik jenis etilena oksida (ETO) yang digunakan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan itu diambil berdasarkan laporan notifikasi Sistem Amaran Pantas untuk Makanan Suruhanjaya Amaran Makanan Eropah (EURASAFF).

“Notifikasi itu menyatakan berlaku penarikan balik produk aiskrim dari Perancis yang mengandungi ekstrak vanila dari Madagascar dikesan mengandungi ETO melebihi tahap dibenarkan.

“Produk aiskrim terbabit diedar ke beberapa negara termasuk Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, sejak isu itu dilaporkan dan notifikasi diterima KKM pada Julai lalu, tindakan sewajarnya diambil yang mana syarikat mengimport menarik balik produk aiskrim terbabit di pasaran secara sukarela.

“Pemantauan berterusan dilaksanakan bagi memastikan produk terbabit tidak dipasarkan di negara ini.

“ETO adalah sebatian gas kimia bersifat karsinogenik dan sering digunakan bagi menjalankan fumigasi atau pewasapan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga.

“Ia juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci tetapi tidak dibenarkan penggunaannya pada permukaan yang bersentuhan makanan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Katanya, pengguna yang ragu-ragu terhadap produk berjenama itu di pasaran boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau membuat pertanyaan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) di www.facebook.com/bkkmhq.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here