Aksi ‘wanita’ berpakaian mencolok mata di KFW22 sebenarnya lelaki 

0
78
Gambar model yang berpakaian mencolok mata ketika acara KFW22 berlangsung di pusat beli-belah Aman Central selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad.

ALOR SETAR – Aksi ‘wanita’ berpakaian mencolok mata pada Kedah Fashion Week 2022 (KFW22) di Aman Central yang tular adalah seorang ‘lelaki berperwatakan wanita’ yang merakamkan gambar di bahagian pentas selepas tamat majlis tersebut.

Menurut Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, hasil pertemuan dengan penganjur KFW22 memaklumkan lelaki terbabit merupakan seorang tetamu, bukannya model memperagakan pakaian pada acara tersebut.

“Saya telah memanggil pihak Aman Central, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Pejabat Daerah Kota Setar untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Hasil pertemuan juga mengesahkan identiti individu berkenaan adalah seorang ‘lelaki berperwatakan wanita’ berlakon seperti seorang model, menggayakan pakaian yang tidak sesuai dan mengambil gambar serta video seterusnya memuat naik di media sosial,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Rabu.

Tambahnya lagi, tindakan individu berkenaan dipercayai adalah untuk gambar peribadi yang diambil setelah acara pertunjukan fesyen tamat dan bukan sebahagian daripada acara KFW22.

Dr Mohd Hayati berkata, sehubungan itu, kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan peruntukan peraturan dan undang-undang sedia ada.

“Kerajaan negeri juga berhasrat untuk mengkaji dan memperkemaskan Peraturan-peraturan kecil berkaitan hiburan dan pertunjukan di negeri ini agar lebih menepati budaya dan tatasusila negeri ini,” katanya lagi.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar model wanita yang berpakaian mencolok mata ketika acara KFW22 berlangsung di pusat beli-belah Aman Central selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here