Atlet emas, gangsa terima insentif tunai

0
36
Aniq Kasdan yang berjaya merangkul emas pada temasya Sukan Komanwel di England, semalam.

CYBERJAYA – Dua atlet kelahiran Johor yang menyumbang pingat pada temasya Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England, akan diberikan insentif wang tunai sebagai penghargaan pencapaian di peringkat antarabangsa.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata atlet angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan yang merangkul emas akan menerima RM10,000 manakala atlet berbasikal, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang meraih gangsa bakal menerima RM6,000 dari Kerajaan Negeri.

“Sebagai tanda penghargaan kepada kejayaan Mohamad Aniq Kasdan, yang meraih pingat emas dan Muhammad Shah Firdaus, meraih gangsa dalam Sukan Komanwel, Kerajaan Johor akan menghadiahkan insentif wang tunai berkenaan.

“Kejayaan dua atlet berkenaan memberi inspirasi sekali gus mengharumkan nama negara dan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Onn Hafiz berharap kemenangan itu akan menyuntik dan membakar semangat atlet-atlet muda Johor yang lain dalam menjulang nama negeri dan negara di persada dunia.

Semalam, Mohamad Aniq apabila meraih emas pertama buat negara menerusi acara angkat berat pada temasya Sukan Komanwel 2022 di National Exhibition Center (NEC), Birmingham, bagi kategori 55 kilogram (kg).

Dalam pada itu, Muhammad Shah Firdaus meraih gangsa dilaporkan mengakhiri penantian selama lapan tahun pelumba berbasikal trek negara untuk memenangi pingat acara keirin pada temasya Sukan Komanwel.

Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Mohd. Aniq Kasdan atas sumbangan pingat emas pertama Malaysia di temasya sukan antarabangsa itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here