Bekas Menteri Besar Selangor disemadikan di Makam Diraja Shah Alam hari ini 

0
35
Orang ramai melakukan solat jenazah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alam bagi memberikan penghormatan terakhir kepada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Kredit foto – Najmi Zulkefle.

SHAH ALAM – Jenazah bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bakal disemadikan di Makam Diraja Shah Alam selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Al-Haj di sini, hari ini.

Berdasarkan tinjauan Malakat Tribune, lebih 1,000 orang hadir melakukan solat jenazah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alam bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Yang hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Aminuddin Shari dan pemimpin kanan pelbagai parti.

Dalam pada itu, Aminuddin menyifatkan Allahyarham sebagai pemimpin yang tegas dan mementingkan masa.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Aminuddin Shari (berbaju biru) hadir ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alam pagi tadi bagi memberikan penghormatan terakhir kepada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Kredit foto – Najmi Zulkefle.

“Secara peribadi beliau merupakan pemimpin yang tegas. Beliau juga pemimpin yang mementingkan masa dan mengutamakan proses yang betul dalam melakukan sesuatu perkara.

“Tindakan dan arahan beliau sering menjadi pedoman dan pengalaman yang berharga kepada sesiapa yang pernah berkerja dengannya termasuk saya dalam mengelola aktiviti belia dan sukan di Selangor pada tahun 2008,” katanya.

Allahyarham meninggalkan isteri, Puan Sri Salbiah Tunut, empat anak dan dua cucu.

Orang ramai memberikan penghormatan terakhir kepada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di sini, hari ini. Kredit foto – Najmi Zulkefle.

Terdahulu, Abdul Khalid dimasukkan ke hospital sejak 23 April yang lalu akibat jangkitan pada injap jantung sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.

Abdul Khalid mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ke-14 pada 13 Mac 2008 di Istana Bukit Kayangan dan menerajui Selangor sehingga 22 September 2014.

Beliau adalah Menteri Besar Selangor yang pertama daripada parti pembangkang Pakatan Harapan (PH) bagi menggantikan Dr Mohamad Khir Toyo.

Abdul Khalid bersara daripada arena politik selepas mengumumkan tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dalam satu kenyataan pada 7 Februari 2018.

Antara jasa beliau adalah mengetuai ‘Serangan Subuh’ yang membuatkan Malaysia mendapatkan hak terhadap syarikat Sime Darby, Guthrie dan Harrison and Co di Bursa Saham London pada tanun 1981.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here