Bekas Panglima TLDM didakwa 3 tuduhan pecah amanah

0
40
Ahmad Ramli tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini . Gambar Malaysiakini.

CYBERJAYA – Bekas Penglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini atas tuduhan berkaitan dana syarikat pembuat kapal, Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd.

Ahmad Ramli, 78, yang juga bekas Pengarah Urusan BNS, mengaku tidak bersalah di atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT).

Bagi tuduhan pertama, Ahmad Ramli didakwa meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140.00 kepada akaun Syarikat Setaria Holding Limited di Standard Chartered Bank, 6 Battery RD, Singapore 049909, antara 9 April hingga 4 Mei 2011.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716.00 ke akaun Syarikat JSD Corporation Pte Ltd nombor 503-027963-201 di The Overseas-Chinese Banking Corporation Limited, 65 Chulia Street, OCBC Centre, Singapore 049513, antara 19 April hingga 4 Mei 2011.

Pertuduhan ketiga mendakwa Ahmad Ramli meluluskan pembayaran berjumlah RM6,182,295.00 ke akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd. nombor 017-0283-860 USD di Standard Chartered Bank, 6 Battery Road, Singapore 049909, antara 28 Oktober hingga 22 November 2020.

Dia didakwa meluluskan pembayaran untuk ketiga-tiga transaksi tersebut tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS, menjadikan ia satu kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here