Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan meninggal dunia

0
15
Allahyarham meninggalkan seorang isteri Datin Aminah Abdullah dan lima anak.

KOTA BHARU – Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman meninggal dunia kira-kira pukul 3.40 petang tadi di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini.

Berita itu dikongsikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dalam hantaran di Facebooknya petang ini.

Pemergian Abdul Halim pada usia 83 tahun disifatkan Ahmad sebagai kehilangan besar kerana Allahyarham merupakan tokoh yang banyak berjasa kepada rakyat negeri itu.

Ahmad Yaakob berkata, bagi pihak kerajaan negeri, beliau mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Almarhum.

“Almarhum merupakan tokoh yang sangat berjasa kepada negeri Kelantan khususnya sebagai antara tokoh penting bermula pentadbiran kerajaan negeri di bawah Dasar Membangun Bersama Islam.

“Semoga Allah SWT mengampunkan dan merahmati serta mengangkat darjatnya dalam kalangan orang-orang yang beramal soleh.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya.

Ahmad pada masa sama berkongsi perjalanan kerjaya politik Abdul Halim yang dilantik Timbalan Menteri Besar Kelantan bermula pada 1990 sehingga 2004.

Allahyarham juga berkhidmat sebagai wakil rakyat bermula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banggol pada 1986 hingga 1995, diikuti Adun Kijang (1995-2004) seterusnya Ahli Parlimen Pengkalan Chepa (2004-2013).

“Almarhum juga merupakan mantan Bendahari PAS Pusat,” katanya.

Menurut menantu Allahyarham, Abdul Halim dilaporkan mendapat jangkitan kuman di paru-paru dan pernah menghidap penyakit kencing manis dan pelbagai penyakit kronik lain.

“InsyaAllah solat jenazah akan diadakan di Masjid Kampung Banggol selepas solat Isyak, dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol.

“Saya bagi pihak keluarga menjemput orang ramai hadir menunaikan solat jenazah di Masjid Banggol selepas solat Isyak malam ini,” kata Zuraidin Abdullah yang juga Adun Chetok.


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here