Belanjawan 2023 diawalkan, dibentang pada 7 Oktober ini

0
17
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar

CYBERJAYA – Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2023 akan diawalkan dengan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Belanjawan 2023 dibentang pada sesi sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 (2022) yang bermula pada 3 Oktober.

“Takwim sebelum ini bermula 26 Oktober hingga 15 Disember 2022 (31 hari) bagi Dewan Rakyat dan 8 hingga 22 Disember 2022 (9 hari) bagi Dewan Negara selepas dipersetujui Jemaah Menteri.

“Takwim baharu yang dicadangkan adalah pada 3 Oktober hingga 29 November 2022 bagi Dewan Rakyat (32 hari) dan 21 November hingga 7 Disember 2022 (11 hari) bagi Dewan Negara, dipercepatkan 23 hari daripada takwim asal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Junaidi berkata, perubahan ini berikutan terdapat keperluan untuk kerajaan meminda takwim Mesyuarat Ketiga ini bagi membolehkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2023 dipercepatkan.

Selain itu katanya, ia bagi membolehkan pembentangan RUU Perbekalan Tambahan 2022 dan RUU Tanggungjawab Fiskal dibentangkan sebaik RUU Perbekalan (Belanjawan) 2023 diluluskan di Dewan Rakyat.

“Perdana Menteri mengenakan kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Peraturan Mesyuarat 10(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat DewanNegara, untuk meminda tarikh daripada 26 Oktober 2022 dan diawalkan kepada 3 Oktober 2022,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here