Berita gembira nanti penjawat awam 30 Ogos ini – PM

0
42
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau akan mengumumkan berita gembira kepada penjawat awam pada hujung bulan ini.

Perdana Menteri berkata, berita sama turut akan dikongsi bersama para aktivis masyarakat yang cekal berkhidmat kepada negara khususnya melalui pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Insya-Allah, kita akan mengumumkan sesuatu yang menceriakan bagi mengubat duka-lara para penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam yang dijadualkan pada 30 Ogos nanti,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium Keluarga Malaysia “Pencapaian dan Harapan” di Pusat Konvensyen Antarabngsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, sesebuah kerajaan hanya akan menjadi kuat dan berkesan jika ia mendapat sokongan dan dokongan daripada semua pihak.

Katanya, kerajaan tidak pernah bersengketa atau memandang ringan pengorbanan para penjawat awam.

“Sepertimana kita semua ketahui, negara kita kerapkali dilanda musibah bencana alam seperti banjir besar yang tidak dijangka.

“Begitu juga dengan ancaman keselamatan termasuk di perbatasan negara. Di saat negara sedang mengalami kesusahan pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Jabatan Kesihatan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan pelbagai agensi kerajaan lain bertugas tanpa lengah dan penuh dedikasi.

“Sehubungan itu, kerajaan Keluarga Malaysia sentiasa menghargai pengorbanan para penjawat awam di bawah pimpinan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Datuk Seri Mohd Zuki Ali,” ujarnya.

Dalam pada itu Ismail Sabri menegaskan, masih banyak agenda yang boleh dilaksanakan dan masih ramai golongan yang perlu dibantu baik golongan miskin, golongan wanita, golongan orang kurang upaya dan sebagainya.

Lantaran itu, beliau berharap penjawat-penjawat awam dapat terus menguatkan tekad dan semangat untuk sama-sama berusaha memantapkan lagi pentadbiran kerajaan dan memulihkan ekonomi negara demi manfaat seluruh rakyat.

“Sejujurnya, saya tidak mahu mendabik dada melaung-laungkan semua kejayaan yang telah dicapai oleh Kerajaan Keluarga Malaysia.

”Dalam hal ini, biarlah fakta yang berbicara,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here