Buat kenyataan berbaur perkauman, Hadi Awang akan dipanggil beri keterangan

0
50

CYBERJAYA – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) megesahkan telah memulakan siasatan ke atas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berikutan dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman berkaitan isu rasuah, baru-baru ini.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner A. Skandaguru berkata, pihaknya akan turut memanggil Ahli Parlimen Marang itu ke Bukit Aman bagi memberi keterangan.

“Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah di bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.

“Selain itu, kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah A. Skandaguru, setakat ini pihaknya telah menerima 28 laporan polis berhubung dakwaan itu.

“Siasatan masih dijalankan dan polis menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi dan kenyataan yang boleh mengganggu proses siasatan.

“Kita menyeru orang ramai supaya cakna dan prihatin terhadap isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang boleh menggugat keharmonian dalam kalangan masyarakat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here