Cadangan bina LRT di Ipoh perlu kajian terperinci

0
21

IPOH – Cadangan supaya sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dibina di Bandaraya Ipoh perlu dikaji secara terperinci.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, selain melibatkan pelaburan besar, pandangan umum mengenai keperluan mewujudkan perkhidmatan LRT juga perlu dilaksanakan.

“Ipoh ini tidak seperti di Kuala Lumpur yang mana aliran trafik dan bilangan kenderaan tinggi, selain tempat meletakkan kenderaan agak terhad. Disebabkan itu di sana memerlukan LRT.

“Namun di Ipoh, setakat ini saya lihat aliran trafik tidak terlalu tinggi malah tidak ada masalah untuk meletakkan kenderaan. Semua tempat membeli-belah di sini juga ada ruang parkir yang cukup.

“Akan tetapi, jika pelaksanaannya untuk jangka masa panjang, ia memerlukan kajian terperinci terutama dari segi jajaran yang melintasi kawasan perumahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Amanat Cikgu Saarani Wacana Perak Sejahtera 2030 dan Penyampaian Insentif Kecemerlangan Akademik dan Sukan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Pada November tahun lalu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengeluarkan Draf Rancangan Tempatan Bandar Raya Ipoh 2035 (Penggantian) menerusi laman sesawangnya yang turut menyenaraikan cadangan membina 28 stesen LRT membabitan dua laluan sejauh 58 kilometer (km) di bandar raya ini.

Dilaporkan laluan pertama adalah Meru Raya-Ipoh-Batu Gajah meliputi jarak 30 km manakala laluan kedua, Bandar Sunway-Ipoh-Simpang Pulai pula sejauh 28 km dengan kekerapan perkhidmatan selama enam minit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here