CUEPACS desak kerajaan campur tangan isu KPPA marahi pegawai imigresen

0
63
ADNAN MAT

CYBERJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendesak kerajaan supaya campur tangan dalam insiden yang melibatkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah dengan pegawai kanan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, sebagai seorang pegawai tertinggi kerajaan, Mohd Shafiq seharusnya menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada pegawai bawahan.

“Adalah amat malang jika seseorang pegawai tertinggi dalam kerajaan memerlukan layanan bertaraf VVIP sedangkan beliau harus menyantuni pegawai kita dengan bijaksana, memahami tugasan mereka di lapangan dan bukannya memalukan pegawai tersebut di depan khalayak ramai seperti yang didakwa oleh pihak kesatuan kakitangan imigresen.

“Dengan mengambil prinsip sebagai sebuah Keluarga Malaysia seperti yang dilaungkan oleh perdana menteri seolah-olah tidak dihayati dan diamalkan oleh pegawai tertinggi kerajaan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, perbuatan itu boleh menjejaskan imej pegawai perkhidmatan awam di mata rakyat.

Menurut Adnan, pada masa lalu sebuah kerajaan negeri pernah mengambil tindakan yang kurang wajar dengan memberikan penyapu kepada penjawat awam dalam satu majlis yang akhirnya menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.

“Kita tidak mahu pegawai yang tidak dapat menghayati falsafah dan mengamalkan semangat Keluarga Malaysia berada dalam perkhidmatan awam.

“CUEPACS amat berharap supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dapat mengambil tindakan segera demi menjaga kebajikan kakitangan awam serta mengekalkan keharmonian dalam kalangan penjawat awam.

“Justeru kami juga mendesak KPPA agar segera tampil memohon maaf atas perbuatan itu.

“Langkah segera ini penting untuk memastikan penjawat awam dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara secara berkesan tanpa mengira kedudukan dan latar belakang mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here