Dalam tempoh 7 bulan sahaja, NCIA berjaya tarik pelaburan bernilai RM17.25 bilion

0
15
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Anggota Majlis Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Kali Ke-29 hari ini.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri berkata, sejak Januari sehingga 31 Julai lalu, Pihak Berkuasa
Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah berjaya menarik pelaburan yang diluluskan sebanyak RM17.25 bilion.

Perdana Menteri berkata, projek itu juga akan menghasilkan 12,315 peluang pekerjaan baharu.

“Pelaburan ini disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), mekanikal dan elektrikal (M&E) dan Peranti Perubatan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“Perkembangan positif ini termasuk pelaburan asing oleh Baladna Food Industries dari Qatar sebanyak RM2.1 bilion untuk membangunkan projek ladang tenusu bersepadu di Chuping, Perlis bagi menyokong agenda sekuriti makanan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Anggota Majlis Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Kali Ke-29.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pengajian Tinggi Negeri Kedah, Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Anggota Majlis Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Kali Ke-29 hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri juga akan memastikan bekalan air, elektrik dan jaringan komunikasi tersedia dalam usaha untuk meyakinkan lebih ramai pelabur ke kawasan NCER.

Pada masa sama, katanya, NCIA bersama-sama kerajaan negeri akan memberi tumpuan untuk mengukuhkan lagi ekosistem bakat dan mewujudkan rantaian bekalan yang teguh bagi
meningkatkan daya saing NCER dalam menangani sebarang jurang dalam ekosistem pasca-pandemik.

“Dalam menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam program sosioekonomi strategik, NCIA sedang merangka pelbagai usaha yang inklusif termasuk penubuhan tabung Dana Pembangunan Modal Insan NCER.

“Tabung ini bagi merangsang penyertaan sektor swasta dalam program pembangunan modal insan mampan dan usahawan,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, mesyuarat itu turut bersetuju supaya program bantuan kos sara hidup menggunakan kad tanpa tunai serta pembangunan kemahiran dan keusahawanan NCER diterapkan di bawah program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).

Katanya, pelaksanaannya akan diperincikan oleh pihak Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

“Mesyuarat hari ini juga bersetuju dengan cadangan NCIA untuk menganjurkan persidangan Pihak Berkuasa Koridor Wilayah untuk membincangkan dan menghuraikan amalan terbaik serta pencapaian.

“Peranan semua koridor ekonomi amat penting bagi membangun dan meningkatkan daya tahan ekonomi Keluarga Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here