Denda RM210 juta: Najib boleh bayar bila-bila masa sepanjang dipenjarakan

0
42

CYBERJAYA – Terdapat ketidakpastian bila Datuk Seri Najib Tun Razak akan membayar denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes rasuah membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Laporan Bernama menyebut, golongan peguam berpendapat bekas Perdana Menteri berusia 69 tahun itu boleh membayar jumlah denda yang besar tersebut pada bila-bila masa sepanjang tempoh 12 tahun beliau dipenjarakan.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata berdasarkan prinsip undang-undang, Najib boleh membayar denda itu pada bila-bila masa namun jika beliau gagal berbuat demikian selepas hukuman penjaranya dijadualkan berakhir maka tempoh pemenjaraan akan ditambah lima tahun seperti perintah Mahkamah Persekutuan.

Peguam Lim Wei Jiet turut berkongsi pandangan sama dan berkata tiada had masa yang dikenakan oleh Mahkamah Persekutuan berhubung tempoh pembayaran.

“Oleh itu, beliau boleh melunaskannya pada bila-bila masa sepanjang tempoh 12 tahun pemenjaraannya,” kata peguam itu.

Peguam M.Viswanathan pula berkata Najib boleh membuat bayaran secara ansuran atau mengeluarkan arahan untuk menjual hartanah seperti yang diperuntuk di bawah Seksyen 283 Kanun Tatacara Jenayah.

“Kebiasaannya, tempoh masa yang munasabah diberikan untuk membuat pembayaran,” katanya.

Semakan dengan pihak berkuasa pula mendapati adalah tidak jelas sama ada Najib sudah membayar denda itu atau sebaliknya.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here