Dokumen penghakiman Rosmah bocor: Polis rakam keterangan pegawai mahkamah

0
24
Datin Seri Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Polis merakam keterangan beberapa pegawai undang-undang mahkamah berhubung kebocoran dokumen berkaitan kes rasuah melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan projek solar hibrid di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Ketua Polis Sentul Beh Eng Lai berkata, mereka yang telah diambil disyaki mempunyai akses kepada dokumen yang dikatakan bocor itu.

“Kita setakat ini telah merakam percakapan beberapa pegawai undang-undang mahkamah yang dipercayai mempunyai akses kepada dokumen yang didakwa bocor itu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung kes tersebut,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Dokumen didakwa terdiri daripada tiga muka surat kertas keputusan kes rasuah Rosmah mula disebarkan portal Malaysia Today pada 26 Ogos.

Sebelum ini, Eng Lai dilaporkan berkata, dokumen tersebut merupakan dokumen penyelidikan mengenai kes yang masih dalam perbicaraan dan merupakan pandangan oleh Unit Penyelidikan sebagai rujukan kepada hakim.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan. Kedua-dua akta itu berkaitan kesalahan membocorkan maklumat.

Pada 27 Ogos, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan membuat laporan polis berhubung dakwaan kebocoran itu.

Menerusi kenyataan, ia menegaskan perbuatan itu adalah tindakan sengaja dilakukan bertujuan menjejaskan integriti pengoperasian mahkamah dan pentadbiran keadilan.

“Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) merujuk kepada laporan Portal Malaysia Today bertajuk “Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022 dan Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here” yang disiarkan pada 26 Ogos 2022.

“Pejabat ini menegaskan bahawa Badan Kehakiman tidak akan diganggu gugat oleh perbuatan-perbuatan yang menyalahi undang-undang dan tidak bertanggungjawab bagi menjejaskan integriti sistem kehakiman negara,” kata kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here