Dua ditahan disyaki cederakan anggota MBJB

0
18

JOHOR BAHRU – Dua lelaki ditahan selepas disyaki menyerang serta menghalang tugas anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) kerana mengeluarkan saman ke atas mereka.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Raub Selamat berkata, ketika kejadian anggota penguat kuasa itu mengeluarkan saman ke atas kenderaan suspek yang diparkir dalam keadaan menghalang lalu lintas menyebabkan suspek yang tidak berpuas hati itu menyerang mangsa dan berlaku pergelutan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi di Jalan Sutera, Taman Sentosa semalam, anggota MBJB berusia 23 tahun itu cedera di kulit kepala akibat dipukul suspek menggunakan tangan dan ditolak ke jalan raya.

“Kedua-dua mereka kemudian melarikan diri. Bagaimanapun, tindakan pantas peronda polis yang tiba di lokasi kejadian berjaya menahan kedua-dua suspek yang bersembunyi dalam kereta kira-kira 500m dari tempat kejadian,” katanya kepada portal Berita Harian.

Raub berkata, seorang daripada suspek cedera di muka dipercayai akibat bergelut dengan mangsa dan menerima dua jahitan.

Tambahnya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang juga rakan itu menyerang anggota penguat kuasa berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan saman yang dikeluarkan atas kesalahan menghalang lalu lintas.

Beliau berkata, dua warga tempatan berusia 42 dan 47 tahun itu akan direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here