Dulu penerbit, kini bergelar usahawan buku 

0
14
Pemilik kedai buku IQRA Read, Norden Mohamed sedang memberi penerangan mengenai buku-buku yang boleh didapati di kedainya di sini, semalam.

CYBERJAYA – Dengan pengalaman hampir 30 tahun dalam dunia penerbitan buku, majalah dan surat khabar, Norden Mohamed kini berjaya membuka kedai bukunya sendiri.

Diberi nama ‘IQRA Read’ kedai buku yang terletak di Malakat Mall, Cyberjaya itu telah beroperasi hampir tiga tahun dengan pelbagai jenis buku menarik boleh didapati di kedai berkenaan.

Jelas Norden, peluang membuka kedai buku itu timbul selepas dia meninggalkan kerjayanya di sebuah syarikat media tempatan iaitu Sinar Harian.

“Selepas saya meninggalkan Sinar Harian saya dapat peluang untuk menceburi bidang peruncitan buku dan bertemu secara lansung dengan pelanggan,” katanya.

Tambah beliau lagi, kebanyakkan buku yang dijual di kedainya adalah daripada penerbit buku yang terkenal seperti Karya Bestari, PTS Media Group, Galeri Ilmu, Anna Muslim dan bermacam-macam lagi.

“Walaupun kedai IQRA ini hanya satu dan tidak besar seperti kedai buku terkenal lain, saya gembira kerana diberikan layanan yang sama oleh pembekal-pembekal buku ini,” ujarnya lagi.

Jelas Norden lagi, antara keunikkan yang ditampilkan di kedai buku milik beliau adalah aktiviti yang yang sentiasa disusun olehnya bagi menarik minat pencinta buku.

“Apa yang orang lain tiada tapi kami ada adalah aktiviti yang mana saya ingin merapatkan pembaca bukan sahaja datang kedai untuk beli buku tapi dia boleh kenal penulis buku itu.

Orang ramai sedang membelek buku di kedai buku IQRA Read yang terletak di Malakat Mall, Cyberjaya.

“Saya ingin pembaca memahami dunia penerbitan buku, kita akan buat program bukan sahaja dengan penulis buku malah dengan mereka yang berada di sebalik tabir seperti dalam editorial, grafik, penterjemahan dan pencetakan buku,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan walaupun kedai buku IQRA ini hanya mempunyai satu cawangan sahaja, beliau merancang untuk mengembangkannya lagi di masa akan datang.

“Saya anggap ini adalah percubaan untuk saya dan saya lihat ini adalah langkah penting dalam memahami ekosistem industri peruncitan buku itu sendiri,”jelasnya.

Ditanya mengenai harapannya, Norden berharap masyarakat di luar sana untuk terus membaca buku sama ada buku fizikal mahupun e-buku sebagai santapan rohani.

“Saya inginkan masyarakat terus membaca dan tidak kira secara fizikal ataupun e-buku sebab membaca ini merupakan santapan rohani dan minda.

“Orang yang baca buku ini mempunyai pemikiran yang berlainan. Yang pertama dia boleh bercakap perkara yang berbeza dan sudut pandang yang menarik selain dapat membantu orang menyelesaikan masalah,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here