Elak peruntukan dipulangkan, PM arah semua kementerian tingkatkan prestasi perbelanjaan DE

0
13
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) hari ini.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa semua kementerian meningkatkan prestasi perbelanjaan Peruntukan Pembangunan (DE) bagi mengelakkan peruntukan berkenaan diserahkan kembali kepada Kementerian Kewangan.

Perdana Menteri berkata, secara keseluruhan prestasi perbelanjaan DE pada tahun ini sehingga 15 Ogos lalu telah mencatat peningkatan sehingga 50.35 peratus berbanding 26.4 peratus pada 15 April lalu.

“Semua kementerian digesa meningkatkan prestasi perbelanjaan. Peruntukan yang tidak dibelanjakan perlu diserahkan kembali kepada Kementerian Kewangan untuk diagihkan semula kepada kementeriankementerian yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) hari ini.

Dalam pada iru, katanya, Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMKe-12 dan juga Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara (JP4N) akan terus meneliti isu dan cabaran semasa bagi mempercepat pelaksanaan projek pembangunan dalam tempoh RMKe-12, demi manfaat kepada Keluarga Malaysia.

Mengulas lanjut, katanya, mesyuarat turut bersetuju supaya Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU JPM) menyediakan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMKe-12 bagi meneliti dan menyemak semula dasar dan sasaran sedia ada.

“Proses ini akan bermula pada September 2022 hingga September 2023. Selaras dengan sasaran untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi yang inklusif dan mampan pada tahun 2025.

“Mesyuarat bersetuju untuk membuat pemantauan rapi dan berterusan ke atas pencapaian indikator utama dan memastikan pelaksanaan intervensi yang perlu ekoran ketidaktentuan ekonomi dunia, konflik geopolitik yang mempengaruhi kenaikan inflasi serta perubahan struktur ekonomi negara yang perlahan,” katanya.

Sementara itu, katanya, mesyuarat tersebut turut bersetuju dengan mekanisme mengarus perdana agenda negara menua dan penyediaan satu blueprint Agenda Negara Menua (ANM) yang akan diselaraskan oleh EPU JPM.

Katanya, ia berikutan situasi Malaysia yang telah menjadi negara menua (ageing nation) pada tahun lalu dan dijangka menjadi negara tua (aged nation) pada tahun 2044.

Beliau berkata, negara menua ditakrifkan sebagai populasi yang berumur 65 tahun ke atas mencapai tujuh peratus daripada jumlah populasi, manakala negara tua ditakrifkan sebagai populasi yang berumur 65 tahun ke atas mencapai 14 peratus daripada jumlah populasi.

Selain itu, katanya, kerajaan turut komited dalam mencapai matlamat sifar miskin tegar menjelang penghujung tahun 2025 menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang telah mula pada akhir bulan April lalu yang melibatkan 80 lokaliti dan kira-kira 5,000 Ketua Isi Rumah (KIR) secara rintis.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan BMTKM akan menggunakan pendekatan baru yang lebih holistik, bersepadu dan berfokus dengan tumpuan kepada aktiviti penjanaan pendapatan dalam kalangan KIR miskin tegar secara mampan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here