Empat buah dron ‘ditembak jatuh’ di sekitar Dataran Merdeka – PDRM

0
294
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya ‘menembak jatuh’ sekurang-kurangnya empat buah dron ketika sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka hari ini.

Laporan portal The Star menyebut, perkara itu dimaklumkan oleh Pegawai Unit Operasi Dron Bukit Aman, Inspektor Muhammad Faiz Shahabudin.

Kata Muhammad Faiz, pemilik dron itu akan disiasat dan tindakan akan diambil terhadap mereka.

“Kami berada di sini (Dataran Merdeka) hari ini untuk memastikan tiada dron persendirian diterbangkan di sekitar kawasan acara.

“Mana-mana dron yang diterbangkan tanpa permit akan ‘ditembak jatuh’ dan tindakan diambil terhadap (pemiliknya) oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya dalam laporan tersebut.

Muhammad Faiz menambah, empat anggota unit itu ditempatkan di sekitar Dataran Merdeka di mana ramai tetamu kenamaan, termasuk Yang diPertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, menghadiri perarakan Hari Kebangsaan.

Isnin lepas, CAAM berkata, langkah mengharamkan dron di lokasi tersebut adalah bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini yang akan melibatkan keselamatan awam atau meningkatkan risiko kemalangan melibatkan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terbang dalam formasi rendah di kawasan itu.

Bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, sambutan Hari Kebangsaan kembali bertapak di Dataran Merdeka selepas berehat selama dua tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here