Harga siling ayam kekal RM9.40 sekilogram

0
6
ALEXANDER NANTA LINGGI

CYBERJAYA – Kerajaan menetapkan harga siling bagi ayam standard di pasaran diteruskan pada harga RM9.40 sekilogram.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, persetujuan itu dicapai secara sebulat suara oleh Jemaah Menteri, dua hari lepas.

Beliau turut menambah, mesyuarat turut membuat keputusan harga ayam tidak akan diapungkan di pasaran ekoran kegusaran yang ditimbulkan oleh segelintir pihak.

“Perincian lanjut berhubung keputusan meneruskan penetapan harga siling bagi ayam standard di seluruh negara akan diumumkan secara lebih lanjut dalam pasca mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Khas Jihad Menangani Inflasi esok,” katanya dalam satu ciapan di akaun Twitter miliknya, hari ini.

Pada 30 Julai lepas, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Azman Mohd Yusof dilaporkan sebagai berkata, mekanisme pelaksanaan harga siling ayam standard RM9.40 sekilogram di semenanjung mungkin tidak akan diteruskan kerajaan selepas 31 Ogos memandangkan bekalannya didapati semakin stabil hari demi hari.

Ini kerana harga pasaran ayam bulat sekarang berada di bawah siling malah terdapat penjual menawarkan harga serendah RM6.99 sekilogram.

Sebelum ini Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee dalam satu kenyataan berkata, kerajaan akan mengkaji semula penetapan harga siling ayam standard serta kebenaran mengeksport selepas 31 Ogos ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here