Ibu dituduh bunuh bayi sendiri

0
15

SUNGAI SIPUT – Seorang jururawat didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh bayi kandungnya yang berusia lapan bulan, minggu lepas.

Tertuduh, T. Rebekal, 30 tahun, mengangguk faham apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan, hari ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana ia melibatkan kes bunuh.

Mengikut kertas pertuduhan, ibu tunggal itu yang bekerja di sebuah hospital swasta, didakwa membunuh J S Melvin Jeshuran di sebuah rumah di Fasa 2A, Kampung Muhibbah, Sungai Siput (utara) pada kira-kira pukul 6 petang, 24 Julai lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R S Vitthiyeswary manakala tertuduh diwakili peguam Nahtan Krishnan.

Mahkamah menetapkan 3 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik dan bedah siasat.

Terdahulu, media melaporkan seorang bayi lelaki berusia lapan bulan meninggal dunia dipercayai didera dalam satu kejadian di Sungai Siput.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis menerima laporan yang memaklumkan terdapat seorang bayi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Sungai Siput.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati, terdapat banyak kesan kecederaan pada anggota badan bayi berkenaan.

Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, mendapati kecederaan dialami bayi itu adalah disebabkan objek tumpul.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here