JAIS tidak terima laporan ajaran Hadi Minallah di Selangor

0
6
MOHD. ZAWAWI

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan terus memantau situasi semasa walaupun tidak menerima sebarang laporan berhubung penyebaran ajaran sesat Hadi Minallah di Selangor setakat ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, ini bagi menyekat sebarang penyebaran ajaran sesat daripada berleluasa di Selangor.

“Penguatkuasaan JAIS giat melakukan pemantauan dan tindakan segera bagi membendung sebarang penyebaran ajaran sesat di negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Sementara itu, tambahnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor baharu sahaja mewartakan dua ajaran sesat dan mengambil tindakan pengisytiharan taubat (Istitabah).

“Dua ajaran sesat sebelum ini telahpun diwarta iaitu ajaran Ibu Yati dan Asma Al Husna.

“Kedua-dua ajaran itu mulanya dikesan di Pahang dan turut berlaku di Selangor, jadi kita telah mewarta dan mengambil tindakan,” katanya.

Pada 8 Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad memaklumkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengenal pasti lokasi pusat operasi kumpulan ajaran sesat Hadi Minallah.

Beliau berkata, maklumat berhubung lokasi itu sudah diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk diambil tindakan selanjutnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here