Jalan TAR hingga Jalan Tun Perak dicadang ditutup kepada kenderaan pada setiap Ahad

0
21
Anggota polis trafik mengawal lalu lintas di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan Tar). Gambar : Farid Janudin/MT

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam perancangan dan kajian untuk menutup Jalan Tunku Abdul Rahman dari Simpang Jalan Esfahan sehingga ke Jalan Tun Perak pada setiap Ahad kepada semua jenis kenderaan untuk dibuka kepada pejalan kaki.

Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, kawasan itu dicadang ditutup bermula dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam.

“Ketika ini pihak DBKL sedang melakukan sesi libat urus bersama dengan pihak-pihak yang terlibat di kawasan berkenaan dan jika tidak ada sebarang halangan, cadangan ini akan dilaksanakan bermula pada 28 Ogos 2022.

“Ini bagi menggalakkan pengunjung untuk berjalan kaki di sekitar kawasan tersebut yang mana banyak kedai untuk membeli belah dan sekaligus dapat mengelakkan kesesakan lalulintas di kawasan tersebut,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Dalam pada itu, katanya, antara cadangan pengisian yang dirancang untuk dilaksanakan di jalan itu sepanjang tempoh penutupan adalah program untuk buskers yang berpermit, program kreatif jalanan, program sukan tradisional, promo dan persembahan sukan yang sesuai.

Sementara itu, katanya, pihak DBKL juga dalam proses untuk meneliti bagi menutup Persimpangan Jalan Bukit Bintang sehingga ke Persimpangan Jalan Pudu.

Katanya, ia juga bagi kegunaan kenderaan pada setiap hujung minggu agar ia boleh digunakan sepenuhnya oleh pejalan kaki.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here