Jawatankuasa tangani gelandangan akan diwujudkan

0
9
ISMAIL SABRI

CYBERJAYA – Kerajaan akan mewujudkan satu jawatankuasa bagi menangani isu berkenaan golongan gelandangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, jawatankuasa itu bertanggungjawab merangka tindakan berkaitan isu tersebut memandangkan kini tiada punca kuasa dan perundangan khusus dalam pengoperasian serta pengendalian golongan itu di negara ini.

Beliau berkata, perkara itu dipersetujui pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Kabinet Bagi Kesejahteraan Golongan Rentan yang dipengerusikannya serta dihadiri menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri berkaitan serta pegawai-pegawai kanan kementerian dan jabatan terlibat di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk meningkatkan pendaftaran pusat jagaan sedia ada, menggandakan tindakan penguatkuasaan ke atas pusat jagaan dan menyemak semula Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) serta Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994.

“Sementara itu, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2018 akan dikuatkuasakan sebagai persediaan kepada unjuran Malaysia mencapai status Negara Tua menjelang 2030 serta menyokong perkembangan industri penjagaan kesihatan warga emas di pusat jagaan swasta.

“Bagi meningkatkan kecekapan pengurusan pusat jagaan, KPWKM turut melaksanakan Projek Rintis Penyampaian Perkhidmatan Alternatif di sebuah pusat jagaan warga emas bermula 21 Nov lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata Ismail Sabri, pendekatan baharu itu melibatkan kerjasama strategik melalui perkongsian kepakaran Badan Bukan Kerajaan (NGO) berpengalaman dalam penjagaan warga emas untuk memastikan pusat jagaan diuruskan dengan berkesan.

Katanya lagi, kerajaan menerusi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) akan memperkasa pendidikan dan penyeragaman pengurusan tahfiz di seluruh negara melalui lima teras utama iaitu undang-undang, model tahfiz, kurikulum yang menepati pendidikan arus perdana, tadbir urus yang berintegriti dan penyelarasan pengiktirafan tahfiz.

Katanya sejak DPTN diperkenalkan pada 2016, jumlah pusat tahfiz berdaftar telah meningkat daripada 571 kepada 1,208 tahun ini.

Mengenai Jawatankuasa Kabinet Bagi Kesejahteraan Golongan Rentan, Ismail Sabri berkata ia merupakan platform khas untuk meneliti secara menyeluruh isu berkaitan pusat jagaan golongan rentan di negara ini termasuklah pusat jagaan kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas serta pusat tahfiz.

Katanya kini definisi golongan rentan diperluaskan kepada 12 golongan antaranya gelandangan, individu tanpa dokumen perjalanan, pelarian, pesakit penyakit berjangkit, miskin dan sebagainya.

Menurut perdana menteri penubuhan jawatankuasa itu bertujuan merangka pendekatan holistik untuk memastikan kebajikan serta kesejahteraan mereka dilindungi daripada manipulasi, pengabaian serta penganiayaan dan keahliannya diperluaskan kepada NGO yang berkaitan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here