Jawi mula siasat ajaran Hadi Minallah

0
15
IDRIS AHMAD

PUTRAJAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sudah mula melaksanakan siasatan terhadap aktiviti kumpulan ajaran ‘Hadi Minallah’ selepas menerima laporan lengkap semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, bagaimanapun serbuan belum dibuat kerana perlu mengikut proses undang-undang.

“Semalam baru dapat alamat betul. Kita beri kepada Jawi kerana bidang kuasa agama negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Pemilihan Anggota Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan Yang Pertama.

Sebelum ini, dilaporkan ajaran Hadi Minnallah aktif menyebarkan dakyah sesat mereka melalui akaun YouTube ‘Persatuan Nur Mutiara Mutmainnah’.

Berdasarkan video tular itu, ajaran tersebut dipimpin seorang lelaki yang mendakwa sebagai pengasas ajaran itu, Wayang Hadi Kesumo atau Hadi Minnallah Aminnullah Ahmad berasal dari Indonesia.

Jumaat lalu, media melaporkan, kerajaan memantau pergerakan kumpulan ajaran sesat dari negara jiran itu yang kini dikesan aktif di beberapa negeri di Malaysia.

Dalam pada itu, Idris berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia hanyalah menjadi penyelaras untuk memaklumkan kepada jabatan agama negeri untuk bertindakan sekiranya terdapat aduan kes-kes seperti ajaran sesat itu.

Beliau berkata manakala jika ajaran sesat disebarkan di YouTube, orang ramai boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

“Jika (ajaran sesat dibuat secara) fizikal di mana-mana negeri, (Jabatan agama Islam) negeri akan bertindak,” katanya.

Idris juga berharap orang ramai yang menerima aduan juga boleh membuat laporan kepada polis untuk pihak berkuasa itu mengambil tindakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here