JHEAIPP siasat dakwaan peniaga nasi ayam ambil bekalan dari peniaga bukan Islam

0
181
Tangkap layar video dua orang lelaki Muslim menghantar bekas makanan di sebuah kedai bukan Muslim di Paya Terubong, Pulau Pinang.

GEORGETOWN – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan peniaga nasi ayam di Sungai Ara di sini, mendapatkan bekalan daripada peniaga bukan Islam.

Menurut laporan Harian Metro, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, siasatan berhubung isu itu sudah dilakukan pegawai Bahagian Halal JHEAIPP sejurus menerima maklumat.

Katanya, berdasarkan maklumat awal didapati pemilik premis perniagaan itu adalah rakan kongsi kepada pemilik premis bukan Islam yang menjalankan perniagaan sama.

“Pegawai (bahagian halal JHEAIPP) sudah melakukan pemeriksaan ke atas premis perniagaan nasi ayam di Sungai Ara itu hari ini, namun didapati mereka sudah menutup operasi perniagaan.

“Pemeriksaan ke atas sebuah lagi premis yang didakwa cawangan perniagaan ayam Sungai Ara di kawasan Persiaran Gurney juga sudah diperiksa namun pemiliknya gagal ditemui,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi memaparkan peniaga nasi ayam Muslim di Sungai Ara menyerahkan perkakasan nasi serta bahan hidangan di premis mereka kepada sebuah premis bukan Islam di Paya Terubong, di sini.

Mengulas lanjut Ahmad Zakiyuddin berkata, pemeriksaan akan dilakukan semula esok bersama pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang bagi tindakan lanjut.

“Kita akan jalankan siasatan lanjut daripada semua sudut termasuk dakwaan mendapatkan bekalan daripada pemilik bukan Islam,” katanya lagi.

Susulan tular, satu video yang dimuatnaik di Facebook oleh peniaga terbabit, mendakwa mereka hanya mencuci perkakasan di premis bukan Islam berkenaan.

Dalam video sama, mereka juga memaklumkan sudah menutup operasi perniagaan susulan timbul isu keraguan status halal atas makanan yang dijual mereka.

Dua lelaki dan dua wanita turut memohon maaf kerana menimbulkan kekeliruan mengenai tindakan mereka ke restoran berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here