Johor: Jumlah kerja kosong melebihi pencari kerja

0
7

JOHOR BAHRU – Terdapat 51,944 kekosongan jawatan di Johor ketika ini yang melebihi jumlah pencari kerja seramai 34,278 orang.

Berikutan itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta rakyat negeri memanfaatkan peluang pekerjaan yang ada terutama dalam bidang pembuatan dan perkhidmatan sambil berkata, pihaknya juga sedang meneliti kemungkinan terdapat banyak isu ketidakpadanan dalam permintaan pekerjaan.

“Oleh itu, kerajaan negeri sedang meneliti isu ini dan akan melibatkan kesemua pihak berkepentingan dalam satu sesi libat urus untuk mendapatkan penyelesaiannya,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya.

Beliau memaklumkan sudah menemui Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Mohammed Azman Aziz Mohammed dan berbincang mengenai kebajikan pekerja dan peluang pekerjaan di Johor.

Tambahnya lagi, terdapat juga cadangan supaya pusat-pusat khidmat di negeri ini dijadikan pusat satelit Perkeso yang akan menjadi tempat sehenti bagi majikan melakukan temu duga dan suai kenal dengan tenaga kerja yang berpotensi.

Dalam pada itu, kata Onn Hafiz, 34,806 individu yang bekerja sendiri telah berdaftar dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) termasuk daripada sektor perkhidmatan sokongan, pengangkutan penumpang dan pengangkutan barang serta makanan.

Beliau juga mengalu-alukan kerjasama Perkeso dalam menyalurkan maklumat mengenai program dan bantuan yang diadakan bagi membantu rakyat negeri itu termasuk 278,000 suri rumah.

Menurutnya, golongan suri rumah menyumbang kepada kesejahteraan keluarga dan masyarakat dan layak dilindungi bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah.

“Ini mampu memberikan implikasi positif terhadap kadar pengangguran, meningkatkan kadar perkhidmatan dan tenaga buruh serta memastikan perlindungan keselamatan sosial pekerja yang menyeluruh kepada rakyat Johor,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here