Jualan Murah Keluarga Malaysia bakal ke IPTA

0
13
ANNUAR MUSA

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan memperluaskan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia hingga meliputi 20 institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, cadangan itu merupakan antara perkara yang dibangkitkan dalam sesi libat urus mengenai isu kos sara hidup di antara beliau dengan wakil pemimpin pelajar daripada IPTA, institut pengajian tinggi swasta (IPTS) termasuk kolej latihan perguruan, tengah hari tadi.

Jelas Annuar, cadangan itu akan ke mesyuarat pasukan itu minggu hadapan bagi membolehkan pelajar turut menikmati kemudahan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia seperti yang diadakan di 639 Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ini.

“Saya jangka kampus akan dibuka semula pada pertengahan September dan Oktober. Jadi jawatankuasa akan mempunyai masa yang cukup untuk bincang kaedah dan mekanisme sekiranya jawatankuasa dapat memberi ‘endorsement’ atau persetujuan supaya konsep Jualan Murah Keluarga Malaysia dapat diperluaskan ke 20 kampus IPTA,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Jihad Tangani Inflasi, di sini hari ini.

Program Jualan Murah Keluarga Malaysia yang bermula pertengahan Ogos merupakan program yang memberi akses kepada rakyat untuk mendapatkan barangan lebih murah pada setiap minggu.

Bagi melicinkan proses permohonan di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia pula, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, persatuan mahasiswa khususnya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) diberi tanggungjawab menjadi pusat rujukan bagi kes rayuan untuk pelajar yang mengemukakan permohonan mereka secara dalam talian dan tidak diluluskan.

Katanya terdapat permohonan pelajar yang tidak melepasi saringan kerana mereka bukan daripada golongan B40, namun secara realitinya ibu bapa pelajar itu telah berpisah dan pelajar sememangnya memerlukan bantuan.

“Kes sedemikian dengan perakuan yang diberikan persatuan mahasiswa mereka, ia boleh dipertimbangkan (untuk lulus permohonan peranti siswa),” katanya serta menambah ia juga bertujuan memastikan pelajar yang benar-benar layak tidak tercicir daripada program itu.

Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia diumumkan dalam pembentangan Bajet 2022 sejajar dengan hasrat kerajaan memastikan rakyat terutamanya pelajar universiti mempunyai peranti serta akses internet pada kos yang berpatutan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here